
PUNCAK ALAM : 22.05.2009 - Satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motorsikal berlaku malam semalam di persimpangan masuk ke Bandar Puncak Alam.
Dalam kejadian yang berlaku pada sekitar jam 8.30 malam itu, sebuah
kereta Proton Wira telah cuba membelok masuk ke persimpangan tersebut
dari arah Lebuhraya Puncak Alam tanpa menyedari ada motorsikal datang
dari arah Meru. "Saya tidak nampak ada motor datang arah tersebut,"
ujar pemandu tersebut yang merupakan seorang penduduk di Fasa 2 yang terkejut apabila motorsikal tersebut merempuh bahagian sisi hadapan keretanya.
Impak rempuhan menyebabkan mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kereta tersebut.
Tinjauan PAnet di tempat kejadian mendapati mangsa yang mengalami patah tulang
betis kanan terbaring di atas bumbung kereta yang dirempuhnya sementara
menunggu ketibaan ambulan.
Anggota polis yang secara kebetulan sedang melakukan rondaan membantu mengawal lalulintas di kawasan kemalangan. Maklumbalas daripada pengguna jalanraya yang berhenti turut menyatakan kebimbangan berkaitan lalulintas yang agak sibuk di laluan itu, hingga menyukarkan pemandu untuk membelok masuk.Warga Bandar Puncak Alam yang ditemui di tempat kejadian bersependapat bahawa pihak berkuasa tempatan harus menyediakan lampu isyarat bagi mengelakkan kemalangan yang sering berlaku di situ.
Dalam satu kejadian berasingan yang berlaku 2 malam yang lalu, satu kemalangan turut berlaku di selekoh laluan berhampiran. Kejadian tersebut berlaku pada sekitar jam 7.45 malam itu melibatkan sebuah kereta Perodua Kelisa yang telah terbabas ke atas pembahagi jalan.
Tinjauan PAnet mendapati lampu jalan di Persiaran Puncak Alam 3 itu tidak
berfungsi, dan dimaklumkan lampu tersebut tidak menyala semenjak minggu lepas.
Keadaan yang gelap ditambah dengan keadaan trafik yang sibuk itu boleh mengakibatkan kemalangan berlaku. Penduduk turut meminta pihak Majlis Daerah Kuala Selangor untuk mengambil tindakan secepat mungkin.
sumber: http://www.puncak-alam.net/berita-tempatan/2009/kemalangan-di-simpang-masuk-puncak-alam.html
1 comment:
Ada Bilik Sewa Puncak Alam?
Post a Comment