
Jalan tanah merah sepanjang kira-kira 100 meter yang berlubang dan sempurna itu kini menjadi laluan penting penduduk setempat termasuk ambulan untuk ke hospital berdekatan.
Seorang pengguna, Ahmad Sufaat berkata, jalan alternatif berkenaan mampu menyingkatkan perjalanan untuk ke Jeram dan ke Klang namun keadaan tidak sempurna menyukarkan mereka melaluinya.
“Saya dimaklumkan jalan berkenaan di bawah Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah Kuala Selangor namun kurang pasti sama ada ia di bawah tanah rizab kerajaan atau milik individu kerana hanya separuh jalan diturap.
“Namun, jalan berkenaan sekiranya dapat diselenggara akan memudahkan penduduk dan masyarakat luar untuk menggunakannya berbanding menggunakan jalan di Ijok yang mengambil masa lama,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Saadon Saman berkata, jalan berkenaan sering digunakan penduduk setempat dan orang awam untuk ke kawasan Jeram atau Klang lebih cepat.
Katanya, sebelum kawasan itu diwujudkan kawasan penempatan, jalan berkenaan menjadi jalan pintas remaja merempit atau penjenayah sehingga menyukarkan pihak pengawal keselamatan mengawal keadaan apabila ada kes jenayah.
“Tetapi, walaupun jalan berkenaan rosak atau lecak ketika musim hujan, orang ramai pasti melaluinya bagi menggelakkan menggunakan jalan berliku di Ijok terutamanya masyarakat luar yang pulang ke kampung ketika musim cuti sekolah.
“Namun, jalan berkenaan ada baik dan buruknya kepada penduduk setempat dan pengguna termasuk saya kerana jalan berkenaan tidak sesak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Sumber: Sinar Harian-12/4/2009
