Oleh Mohd Firdaus Ibrahim mfirdaus@hmetro.com.my PETALING JAYA: Selepas 11 hari diburu, dua penjenayah yang disyaki
terbabit dalam kes samun dan bunuh di Puncak Alam, dekat Shah Alam,
ditembak mati sepasukan polis di Damansara Kim, dekat sini, malam tadi.
Dalam
kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua suspek baru menculik
seorang lelaki warga Myanmar di kawasan berhampiran bagi tujuan peras
ugut.
Namun, ketika cuba membawa mangsa untuk mengeluarkan wang
di mesin juruwang automatik (ATM), penjenayah terbabit terserempak
sepasukan polis yang kebetulan meronda di kawasan itu.
Berikutan
itu, kedua-dua lelaki cuba melarikan diri dengan menggunakan sebuah
Honda Civic yang dipercayai dicuri di Subang Jaya dan pada masa sama
menjadikan mangsa sebagai tebusan.
Bagaimanapun, mereka hanya mampu memecut sejauh 1.5 kilometer sebelum dikepung polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan,
berkata sebaik dikepung seorang daripada suspek keluar dari kereta
dengan bersenjatakan parang dan terus menyerang polis.
“Polis
terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Menyedari
rakannya ditembak, seorang lagi suspek bersenjatakan pistol melarikan
diri ke arah bangunan berhampiran namun terserempak dengan anggota
polis.
“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah
polis sebelum dia ditembak mati,” katanya ketika ditemui di tempat
kejadian, malam tadi.
Menurutnya, polis turut menemui seorang
warga Myanmar dalam kereta suspek dipercayai diculik bagi tujuan peras
ugut oleh kedua-dua penjenayah.
“Siasatan awal mendapati
kedua-dua suspek terbabit bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas
menculik, menyamun dan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa
sawit di Puncak Alam, 10 Mei lalu.
“Kita yakin kerana seorang
daripada suspek kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
ketika mereka cuba mengeluarkan wang bersama-sama mangsa di sebuah
mesin ATM.
“Kedua-dua suspek juga didapati baru dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor,” katanya.
sumber :http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090520073249/Article/index_html